𝐎𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐞𝐩𝐚𝐝𝐮 𝐀𝐀𝐃𝐊 𝐑𝐞𝐦𝐛𝐚𝐮 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐑𝐞𝐦𝐛𝐚𝐮
Rembau, 11 Mac – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Rembau dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Majlis Daerah Rembau telah menjalankan Program Operasi Bersepadu di beberapa pusat snuker serta gerai menjual bunga api dan mercun sekitar Daerah Rembau pada Rabu.
Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan premis serta saringan ujian air kencing terhadap 40 orang pelanggan di pusat snuker oleh pihak AADK. Hasil saringan mendapati kesemua individu yang diperiksa adalah negatif daripada penyalahgunaan dadah.
Dalam masa yang sama, pihak Majlis Daerah Rembau turut menjalankan pemeriksaan lesen dan pematuhan peraturan perniagaan. Beberapa premis telah dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memperbaharui permit kaki lima awam serta gagal mempamerkan lesen perniagaan.
Melalui operasi bersepadu ini, pihak penganjur berharap usaha penguatkuasaan secara bersama dapat memastikan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, mematuhi undang-undang serta membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat setempat.



