
Majlis Daerah Rembau Perkasa Tadbir Urus Melalui Lawatan Kerja Ke Majlis Perbandaran Kuala Selangor
Majlis Daerah Rembau (MDR) telah mengadakan Lawatan Kerja ke Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 29 hingga 30 Januari 2026 yang melibatkan seramai 50 peserta terdiri daripada Yang DiPertua, Setiausaha, Ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan/Bahagian, Ahli Jawatankuasa MBJ serta urusetia program.
Lawatan selama dua hari satu malam ini bertujuan memberi pendedahan kepada Ahli Majlis dan pegawai MDR berkaitan struktur pengurusan pentadbiran, pelancongan, penguatkuasaan serta pelesenan yang dilaksanakan oleh MPKS. Program ini juga menjadi platform percambahan idea dan rujukan bagi mencari alternatif baharu dalam usaha memajukan serta melestarikan pentadbiran MDR.
Sepanjang lawatan, delegasi MDR telah mengadakan mesyuarat penuh bersama wakil MPKS selain melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Selangor termasuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Kampung Kuantan Kelip-Kelip dan Bukit Malawati. Kesemua peserta telah menginap di De’Palma Hotel Eco-Resort Kuala Selangor.
Diharapkan lawatan kerja ini dapat menjadi landasan kepada Ahli Majlis dan pegawai MDR dalam membina aspirasi baharu serta merancang penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dan berkesan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada barisan urusetia yang telah berjaya melaksanakan program ini dengan lancar.



