
Lawatan Menaik Taraf Pasar Awam Pekan Rembau
Lawatan ini telah diadakan pada 5 Disember 2025 oleh Jabatan Kejuruteraan & Bangunan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan serta dengan kehadiran Puan Norazlyzan, Setiausaha Majlis Daerah Rembau. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan kerja menaik taraf Pasar Awam Pekan Rembau yang melibatkan bahagian dalam, depan dan belakang bangunan, termasuk binaan sementara serta barangan persendirian yang berada di kawasan pasar tersebut.
Kerja-kerja menaik taraf telah bermula pada 27 Oktober 2025 dan dijangka siap pada 16 Februari 2026. Sepanjang lawatan, peniaga turut dinasihatkan untuk mengalihkan barangan perniagaan bagi memudahkan kerja pembaikan lantai pasar dilakukan, selaras dengan notis pemakluman yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Majlis Daerah Rembau berharap agar semua peniaga dapat memberikan kerjasama penuh demi memastikan kelancaran kerja menaik taraf. Dengan kerjasama ini, pasar dapat dipulihkan menjadi lebih cantik, selesa dan teratur, sekali gus memudahkan urusan peniaga dan pengunjung pada masa akan datang.



