
OPERASI WARAN 'F' DITERUSKAN LAGI DI DAERAH REMBAU.
Majlis Daerah Rembau meneruskan pelaksanaan Operasi Waran 'F' di beberapa lokasi sekitar Taman Desa Chembong dan Taman Dato' Lela Maharaja pada hari ini. Operasi ini dikendalikan oleh Bahagian Penilaian & Pengurusan Harta dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa telah menyita satu set sofa jati berikutan tunggakan cukai taksiran yang masih gagal dijelaskan oleh pemilik premis. Selain itu, notis turut dikeluarkan kepada beberapa pemilik yang masih belum melunaskan bayaran cukai mereka seperti yang telah ditetapkan.
Tindakan bersepadu ini dijalankan bagi memastikan semua pemilik harta menunaikan tanggungjawab membayar Cukai Taksiran Am serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembayaran cukai demi kemudahan dan pembangunan komuniti setempat. Operasi Waran 'F' akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan di kawasan lain dalam Daerah Rembau.
Majlis Daerah Rembau menyeru semua pemilik harta di daerah ini untuk menjelaskan cukai tepat pada masanya. Kerjasama anda amat dihargai dalam mengelakkan tindakan lanjut serta memastikan kelancaran perkhidmatan dan pembangunan di Daerah Rembau.



