Program Operasi Pemeriksaan Beg Plastik 2025

Rembau bebas tanpa penggunaan beg plastik.

Program Operasi Pemeriksaan Beg Plastik 2025 anjuran Majlis Daerah Rembau telah dijalankan pada 19 November 2025 (Rabu) melibatkan pemeriksaan di sekitar premis dalam kawasan pentadbiran MDR. Operasi ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Jabatan Penguatkuasaan dan Undang-Undang serta Jabatan Pelesenan dengan kehadiran Puan Norazlyzan Ramli, Setiausaha MDR, bagi memastikan pematuhan terhadap dasar pengurangan penggunaan beg plastik.

Pemeriksaan mendapati masih terdapat beberapa premis yang belum mematuhi peraturan dan masih menggunakan beg plastik dalam urusan jual beli. Sehubungan itu, amaran telah diberikan kepada pemilik premis agar segera beralih kepada penggunaan beg mesra alam atau beg guna semula selaras dengan inisiatif pihak berkuasa untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan beg plastik di kawasan tersebut.

Diharapkan pelaksanaan operasi ini dapat meningkatkan kesedaran para peniaga dan masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta mengurangkan pergantungan kepada beg plastik. Langkah ini juga diharapkan mampu membuka mata semua pihak tentang peranan masing-masing dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan lestari terutama di sekitar Daerah Rembau.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua jabatan atas kerjasama yang baik dalam menjayakan operasi ini. Usaha bersama ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan dasar pengurangan beg plastik dilaksanakan dengan berkesan demi kebaikan masyarakat dan persekitaran.