
REMBAU, 8 November 2025 – Edisi ketiga Rembau Fellowship Race 2025 berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 495 peserta termasuk dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Great Britain, Korea Selatan dan Mesir.
Program yang bermula seawal jam 6 pagi hingga 1 petang ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak yang disertai 100 peserta dalam dua kategori – kategori tertutup Tadika Perpaduan dan kategori terbuka bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Hadiah pertandingan ditaja sepenuhnya oleh Grobok Salai dengan ganjaran basikal dan hamper kepada pemenang.
Majlis flag-off disempurnakan oleh YB Nicole Tan Lee Koon, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, diiringi oleh ketua-ketua jabatan daerah termasuk OCPD Rembau, JKR, Pejabat Perpaduan, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Pejabat Penerangan Daerah Rembau serta Pn. Norazlyzan Ramli, Setiausaha Majlis Daerah Rembau yang turut menyampaikan ucapan dan hadiah kepada pemenang.
Program ini turut menerima sokongan daripada pelbagai pihak antaranya Mitsubishi Negeri Sembilan yang menaja dua kenderaan rasmi jenis Mitsubishi Triton bagi kegunaan marshal sepanjang acara, serta ‘Wellness on Wheel’ dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang memeriahkan lagi acara di lokasi flag-off.
Acara ini juga tersenarai dalam Calendar of Events (COE) Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan akan diteruskan dalam COE 2026 sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, dengan kehadiran maskot rasmi pelancongan, Jang dan Daro.
Menurut YB Nicole Tan, penganjuran program sebegini bukan sahaja memperkukuh gaya hidup sihat tetapi turut mempromosikan pelancongan sukan di Negeri Sembilan. “Kehadiran peserta dari luar negara menunjukkan potensi besar Rembau sebagai destinasi pelancongan aktif dan mesra komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pn. Norazlyzan Ramli menyifatkan program ini sebagai bukti kejayaan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan. “Sambutan yang sangat menggalakkan ini menunjukkan rakyat Rembau dan sekitarnya amat menyokong usaha memupuk semangat kesukanan, kebersamaan serta memperkenalkan Rembau sebagai lokasi pelancongan yang berkembang pesat,” ujarnya.
Peserta dan pengunjung turut memberikan maklum balas positif terhadap aspek keselamatan, kemudahan, penyediaan stesen air, perkhidmatan ambulans serta pengurusan teknikal yang tersusun sepanjang program berlangsung.
Ihsan berita : Jabatan Penerangan Daerah Rembau