
Pada 14 Oktober 2025 (Selasa), Daerah Rembau telah menerima kunjungan istimewa daripada YB Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan dalam satu sesi lawatan rasmi ke beberapa produk pelancongan utama di daerah ini.
Menariknya, lawatan ini turut disertai oleh YB Nicole Tan Lee Koon, Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang turut memegang portfolio berkaitan Pelancongan, Seni dan Budaya, sekaligus memperlihatkan komitmen penuh kepimpinan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Lawatan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ini melibatkan kunjungan ke beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti Grobok Salai, Muzium Rembau, Jeram Rekreasi Sungai Talan, Aureum Kopitiam Rembau, Wet World Pedas, dan Pengkalan Nelayan Sungai Timun.
Seramai 30 orang peserta daripada pelbagai agensi turut serta, termasuk Pejabat YB Pengerusi, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, Majlis Daerah Rembau, Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan serta Tourism Malaysia Wilayah Tengah.
Lawatan ini bukan sahaja bertujuan meninjau potensi pelancongan sedia ada, malah diharap dapat membuka lebih banyak peluang promosi serta memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menjadikan Rembau sebagai salah satu destinasi pelancongan unggul di Negeri Sembilan.