REPLIKA ISTANA RAJA MELEWAR

- Replika Istana Raja Melewar telah dibuka kepada orang ramai semenjak September 2004. Replika yang bernilai 2.7 juta ini merupakan daya usaha Pejabat Daerah Rembau dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan dengan bantuan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tujuan pembinaan Replika ini adalah sebagai objek pelancongan bersejarah agar dapat mengingatkan kembali rekabentuk asal Istana Raja Melewar yang pernah diduduki di tapak asal ini. Pejabat Daerah Rembau telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan agar pengisian muzium diamanahkan kepada Lembaga Muzium Negeri dengan konsep dan objektif yang sesuai dengan latar belakang bangunan dan sejarah Rembau.
HUTAN LIPUR GUNUNG DATUK

- Gunung Datuk adalah puncak tertinggi di daerah ini dengan ketinggian melebihi 2,900 kaki dan di gunung ini juga letaknya tapak asal pokok Merbau yang mana nama daerah ini diperolehi. Pendaki gunung yang sampai di kemuncaknya boleh melihat pemandangan yang luas di bahagian barat dari gunung - gunung Sungai Ujong menyeberangi pinggir laut hingga ke Selat Melaka. Gunung ini juga kaya dengan lagenda, antaranya tapak kaki di puncaknya yang menyumbang kepada legenda pahlawan Melayu, Hang Tuah, yang dikatakan berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Tuan.
|